Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh ..
AhLan Wa SahLan ! SaLam UkhWah !

Saturday, November 7, 2015

-- F A T A M O R G A N A --

fatamorgana dunia ..

-- terbaca satu status . tergelak kecil tanpa sengaja ,
dalam hati berkata ,
budak ini baru saja mahu mengenal dunia ..

manusia ..
sejenis makhluk yang .. entah ,,
aku sendiri masih tertanya-tanya,
apakah yg boleh aku klarifikasikan mengenainya??
 ..seperti kata Faiz Ibrahim....

" bukanlah malaikat yg suci hingga mangkat, tidak juga serakus syaitan yg pilihan haram sbg ikatan. ."

tertanya pada diri,,
fatamorgana kah itu ?
kata-kata berbaur ancaman ,,
kata-kata seakan kau manusia hebat ,,
sedang kau lupa ,
kau juga seperti aku,
ada yang mengawal segala gerak laku,

fatamorgana dunia ..

Tuesday, November 4, 2014

R A S A ,, H A T I

Ketika itu angin berhembus tak menentu.
Membuatku tak mengerti apa yang melandaku.
Rasa ini jujur tapi tak akan kubiarkan hilang.
Kerna ia adalah jawapan dari semua terang.

Aku tersandar di dalam hati.
Mencuba mengerti apa itu kasih.
Mencuba mengerti apa itu mimpi.
Dan mengerti apa itu jalan yang harus ku lewati.

Seperti warna pelangi.
Kau gambarkan keindahan itu dari pagi hingga sinar nya pergi.
Aku lihat itu.
Aku merasakan itu.

Dan kucuba lebih lagi menentukan jalan hidup ini.
Tapi tetap saja ia terus bermain-main dengan otak ku ini.
Hingga nanti ini sejati.
Hingga nanti lalui hari dengan semangat hati.

Rasa senang gembira dan tertawa ini.
Seperti ombak pantai yg tak pernah sunyi.
Ia akan terus menderu-deru disini.
Ia akan tetap yg terhebat di mata hati ini.

Mimpi yang tak ku mengerti. Tapi nyata di dalam hati.

B A H A G I A

Kebahagiaan bukan milik semua orang merancang, bukan milik orang yang memandang orang lain bahagia bukan juga milik orang yang berimaginasi.

Bahagia adalah milik orang yang sabar.. 
Bahagia adalah milik orang yang  memahami..
Bahagia adalah milik mereka yang berkorban serta yang tahu berterima kasih dan bersyukur.
Bukan harta jaminan bahagia.

Awak x perlu runsing memikirkan bagaimana untuk hidup bahagia.. Apa yang perlu awak lakukan adalah dengan perbaiki diri untuk menjadi seorang yang pemaaf, didik diri untuk menjadi seorang yang penyabar dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Jangan tertipu dengan senyuman pada sebuah potret kerana dibalik senyuman itu kita tidak tahu pasti adakah ia ukiran daripada sebuah kebahagiaan atau ukiran senyuman yang menutupi seribu kelukaan di jiwa..


Awak, bahagia bukan terletak pada mata yang memandang tetapi terletak pada jiwa , pada jasad yang dapat bersabar dengan dugaan yang hadir ...

Monday, June 9, 2014

Sunnah Memakai Cincin


Sunnah memakai cincin,

Rasulullah SAW suka memakai cincin di jari kelingkingnya.. Dengan permatanya menghala ke bawah dan memakai pada tangan kanan..

Sunnah mencabut cincin,

Rasulullah SAW akan mencabut cincin sebelum masuk ke dalam tandas kerana di cincin Rasulullah SAW ada kalimah Allah.. Dan Rasulullah juga suka memusingkan cincinnya jadi apabila dihadapan sahabat sedang berbual, Rasulullah SAW akan mencabut cincin tersebut kerana tidak mahu terleka bermain cincin apabila berbual dengan orang keran dianggap tidak memghormati orang tersebut..

Cincin Rasulullah SAW pernah dijaga oleh Sayyidina Umar dan kemudian Sayyidina Uthman. Tetapi ketika dalam penjagaannya Sayyidina Uthman memberikan cincin tersebut kepada orang untuk menjaganya. Tetapi cincin tersebut telah tercicir dan terjatuh dalam telaga dekat Masjid Quba'. Para sahabat telah menyelam untuk mencarinya tetapi tidak menjumpainya.. Akhirnya akibat peristiwa itu, pintu fitnah telah terbuka. Inilah hikmah dari Allah untuk ummah..
~Fattabiu'ni TV Al-Hijrah

Thursday, May 15, 2014

Cerita nya ....

Ceritanya...
Semalam,
Ada mak bapak yang datang meradang,
Menghentak meja, bersuara lantang,
Meluah rasa menjeling pandang,
Kecik hati tak diundang,
Marah benar bila dibuang,
Mcm amuk pemain bola dibuang padang.

Ceritanya...
Semalam,
Maruah cikgu diejek-ejek,
Dikata tak layak jadi pendidik,
Ijazah yang ada sekadar dikelek,
Masa mengajar dipendek pendek,
Pengalaman yang ada disukat cetek,
Telinga cikgu mendengar jelek.

Ceritanya...
Hari ini,
Ada murid yang datang lewat,
Sedangkan rumah duduknya dekat,
Cikgu pun tanya kenapa liat,
Hari-hari lambat, ke mana solat?
Muka murid tersenyum kelat,
Otak murid berfikir ligat,
Nak gentar apa, cikgu tak boleh nak sebat,
Paling tak tulis nama dlm buku lewat.

Ceritanya...
Hari ini,
Ada cikgu mengajar di depan kelas,
Ada murid di belakang bersembang bebas,
Ada kerja untuk 1 kelas,
Tapi yang siap tak sampai sebelas,
Marah cikgu berbekas bekas,
Niat di hati mengajar ikhlas,
Yang rajin tiga belas,
Yang lain malas !

Ceritanya...
Nanti,
Tatkala result keluar,
1 sekolah berdebar-debar,
Mak bapak tak sabar-sabar,
Mesti result anak aku bikin gempar,
Silap-silap masuk surat khabar.

Ceritanya...
Bila result mula diumumkan,
Anak dapat cukup cukup makan,
Anak nangis mintak ehsan,
Bukan apa takut balik dirotan,
Anak dipujuk, cikgu disalahkan,
Konon cikgu tak berkelayakan,
Ilmu yang ada tak cukup padan,
Mak bapak melepas baran,
Anak aku bukan sebarangan,
Lahir dari keturunan tuan-tuan,
Patut dapat keputusan number one.

Ceritanya...
Hari ini,
Hati cikgu mendidih-didih,
Mak bapak tak tahu berterima kasih,
Hati cikgu mana tak sedih,
Tapi cikgu hatinya jernih,
Marah pergi sejuk diraih,
Biar mak bapak makinya berbuih,
Nawaitu cikgu bersifat bersih,
Luhur hatinya tetap ditagih.

Ceritanya...
Hari ini, 
aku berterima kasih,
Pada guru yang berperit jerih,
Yang tak pernah letih,
Bukan wang ringgit yang cikgu ketagih,
Cukuplah sekadar terima kasih.


Selamat hari guru buat Mak Abah yang dah mendidik saya sejak berusia sehari..
Terima kasih buat guru tadika saya, Cikgu Margeret yang tidak jemu melihat muka saya saban tahun di TABIKA KEMAS ENGKILILI..

Terima Kasih buat Guru PraSekolah saya, Cikgu Dara Sebah.. tidak lupa juga buat guru-guru saya di sekolah rendah SK Engkilili No.1 yang banyak memberi tunjuk ajar dari darjah satu sehingga darjah enam ...
Terima Kasih juga diucapkan kepada guru-guru saya ketika saya dibangku sekolah menengah , dari tingkatan 1-5 saya bersekolah di SMK Engkilili..
Terima kasih juga buat guru-guru saya di tingkatan 6 di SMK Simanggang walaupun saya hanya berpeluang untuk berada disana tidak kurang dari dua bulan .. 
Buat para pensyarah saya di IPG Kampus Sultan Abdul Halim , selamat hari Guru ,, terima kasih untuk segala ilmu yang telah dicurahkan untuk saya ... 

SELAMAT HARI GURU !



Tuesday, May 13, 2014

Anugerah Terindah .. ^_^

Bella sekarang ... ^_^
Bella ,,
Sejak hadirnya Bella dalam hidup saya, banyak perkara yang berubah dalam hidup saya, Alhamdulillah semuanya ke arah membina kendiri yang positif, 
Hadirnya Bella juga membuatkan saya mendapat gelaran Ibu Muda Instant .. hehehe ,, 
Teringat lagi waktu kali pertama gendong dia, 
kena muntah dengan Bella . Habis kotor tudung kena muntah susu si comel ni. 
Bella dulu selalu kena ruam, teruk , kesian dia, nak pakai pampers pun susah..
Alhamdulillah, sebulan lepas tu ruam dia dah sembuh. 
Bella ni memang ada masalah nak menyusu. kalau baby lain , setiap dua jam mesti akan haus dan lapar, tapi Bella tak, dalam sehari tu dia hanya akan menyusu tak lebih dari 3 kali sehari.kesian Bella, sebulan berat badan dia naik 100-200gm sahaja. Kakak jururawat tu cakap, Bella sihat, macam bayi normal, cuma Bella memang jenis yang lambat nak naik berat badan .. Saya senyum ,, dalam hati berkata, aku pun berat susah nak naik ,, hehehehehe .. Tak kisah lah berat dia tak naik banyak, yang penting Cinta hati saya Bella ni sihat walafiat dah cukup menyenangkan hati . ^_^

Kejayaan pertama Bella meniarap selepas tergolek untuk beberapa kali. 2 Februari 2013. 
Masa Bella umur 4 bulan ke atas, dia kerap demam. Mak cakap tu perkara biasa. Bella dah mula nak meniarap. Bella belajar meniarap lebih kurang dalam dua minggu, dah banyak kali tergolek , akhirnya dia berjaya meniarap dengan sempurna pada 2 Februari 2013,, masa tu genap usia saya 18 tahun.. hehehe.. seronoknya tengok dia berjaya meniarap. Saya teringat kata-kata guru kaunseling saya masa sekolah dulu, beliau berkata, satu sikap yang ada pada bayi yang kita boleh contohi ialah, bayi ni tak mudah putus asa. Selagi dia tak boleh buat sesuatu perkara tu, dia akan usaha sampai dapat, bila dah berjaya , dia akan tersenyum puas tandanya dia dah mencapai satu kejayaan dalam hidupnya .. Bella sayang , terima kasih ingatkan Miyaya untuk tidak berputus asa. sayang bella ketat2..
Bella demam. kesian dia ..

Berpisah dengan Bella suatu perkara yang sangat berat . Bukan berpisah dengan mak Abah je berat, nak berpisah dengan Si Comel ni pun satu perkara yang sangat berat.
Masa dapat tawaran masuk tingkatan 6 , saya tak rasa apa sangat nak berpisah dengan Comel saya ni, sebab hujung minggu boleh balik rumah. Tapi .. yang beratnya bila saya dapat tawaran masuk IPG .. perghhhhh .. tak boleh tahannnn .. jauh nau tempat belajar nye ,, nuh kat negeri jelapang padi nuh ,, masa tu Bella dah 11 bulan .. 
Berat beno rasa hati nak tinggalkan dia ..
Mak cakap fikir tentang masa depan.. itu yang utama sekarang... 
Sedih sangat , tak boleh nak kata apa.
Genap usia Bella setahun, saya di Kedah , oh sedihhhhh ~ 
Bella setahun satu bulan
Gambar ni di ambil masa saya balik cuti raya.. ehehehe. dah setahun lebih buah hati saya.. dah boleh jalan dah Bella masa ni, jenuh saya nak kejar dan tangkap dia..Terharu sangat bila tengok dia dah besar, dah makin comel, dah mula nak bercakap. dia suka sangat gelak.Masa balik tu, terdetik dalam hati, terasa macam baru semalam dapat Bella, gendong dia , kena muntah ngan dia, berjaga malam jaga dia yang demam, bancuh susu untuk dia tengah malam ,,Sekarang dia dah setahun, dah oleh berjalan, dah pandai nak bercakap. perasaan saya masa tu sukar nak diungkapkan. bahagia dan terharu ,, sebak pun ada sebab masa langkah pertama dia berjalan tu saya xde ,, huhuhu..
Bella 1 tahun 10 bulan.
Sekarang dia dah setahun 10 bulan, dah makin lincah, nakal , banyak cakap, kalau saya call mak, mesti dia sibuk tanya mak , siapa yang call , Miyaya .. dia akan panggil Miyaya, kadang-kadang tu dia panggil Yoi ,, bertuah punya anak ,, hehehehe ..
Rindu sangat kat dia ..
Bella , anugerah terindah dalam hidup saya, adanya dia buatkan merasa bagaimana nikmatnya jadi seorang ibu. Bella buatkan semakin sayang mak saya, dan saya mula memahami tanggungjawab seorang ibu, besarnya pengorbanan seorang ibu. Allah ,, terima kasih Ya ALLAH sebab anugerahkan Bella dalam hidup ini. 
Bella banyak mengajar saya tentang erti hidup.. Bella juga mengajar saya untuk jadi lebih dewasa, 
Bella banyak mengajar saya erti kesabaran.. Allahu Rabbi,, beruntungnya saya dapat Bella .. :')
Ibu Muda dan Bella ... ^_^

Sunday, May 11, 2014

Tepung dan Telur



Tepung dan telur .
Bukanlah sejenis batu atau kertas yang boleh dibaling-baling.
Membaling makanan adalah perbuatan yang sangat keji..
Apakah kita tidak terfikir .
Masih ramai lagi saudara kita diluar sana .
Kelaparan kerana kekurangan makanan .
Aktiviti membaling tepung dan telur .
Merupakan satu pembaziran .
Dan membazir itu amalan syaitan .
Astaghfirullaha lazim .
Ingatlah semua .
Dan .
Fikir - fikirkan lah .
Bagaimana sesetengah daripada kita .
Masih seronok sangat dengan benda - benda begini .
Tatkala ada insan lain yang menangis .
Menahan pedihnya perut menahan lapar .


Wednesday, March 12, 2014

Izinkan Aku Melupakanmu .... ^_^

Wahai engkau yang pernah singgah dalam lubuk hatiku,,
Izinkan aku melupakan bayanganmu dalam hatiku,,
Akan aku hapuskan memori indah yang pernah terjadi,,
Biarkan aku melangkah dengan pijakan pada kakiku,
Jangan engkau sandung dengan beban kenangan,,
Yang membelenggu langkahku,
Jangan engkau seksa dengan cinta semu,
Yang menghancurkan harapanku,
Ya, izinkan aku melupakanmu,
Sepenuh hatiku,
Segenap jiwaku,
Seluruh perasaanku....

Sunday, March 9, 2014

-- TERIMA SAHABAT SEADANYA JIKA BENAR KERANA ALLAH ..

"A good Muslim is one who doesn't let his errors DEFINE who he is,
but use them to REDEFINE who he is" 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh .. 
Untuk entri kali ini , ana ingin berkongsi sebuah kisah tentang dua sahabat .. kisah ini di ceritakan oleh seorang sahabat ana sewaktu sekolah menengah .. semoga kisah ini boleh dijadikan iktibar buat semua.



Pernah suatu hari, telah dikhabarkan kisah dua orang sahabat yang sangat indah.
Semenjak keduanya bersahabat, mereka tidak pernah bergaduh, masing-masing amat menjaga hati masing-masing. Indahnya lukisan kehidupan mereka, jika hendak dikhabarkan 1001 kisah cinta, langsung tak tertanding dengan kisah persahabatan mereka.

Allah menaungi ukhwah kedua-dua sahabat ini, langsung tak terusik oleh syaitan & iblis. Mereka berkongsi kisah suka & duka, tawa & tangis bersama, susah & senang, sakit & sihat bersama & segala sesuatu mereka sandarkan kepada Allah SWT. Hinggalah pada suatu hari, di tepian pantai, sedang keduanya asyik bercerita kisah hidup masing-masing, maka sahabat pertama bertanya kepada sahabat kedua;


“Semoga Allah memberkatimu wahai sahabatku sehati sejiwa. Persaudaraan kita bukan suatu kebanggaan, bukanlah suatu keseronokan. Orang ramai mendoakan kita. Tumbuh-tumbuhan & segala jenis makhluk tunduk sujud kepada kita. Sehingga ke hari ini, apakah kamu masih mengaku aku sebagai sahabat seperjuanganmu?”


Sahabat kedua menjawab, “Semoga Allah memberkati mu jua. Tanpa Allah siapalah aku, aku bersyukur dengan nikmat pemberian Allah yang tak ternilai di hadapan mataku ini. Dia utuskan kamu untuk menyinari hidupku, memadam kesan-kesan hitam dalam hidupku, menyiram aku dengan curahan air cinta kepada Yang Satu. Masakan tidak aku mengaku kau sebagai sahabat seperjuanganku. Inilah tekadku, aku amat bersyukur ke hadrat Allah kerana dikurniakan sahabat sepertimu..”


“Sesungguhnya iblis & syaitan amat benci pada kita. Mereka benci kerana kita berkasih sayang kerana Allah. Sampai sekarang, mereka masih gagal. Namun mereka tak pernah berputus asa. Jarum kedengkian, hasad, fitnah, tuduh-menuduh, riya’ & takbur serta ‘ujub akan mereka cucuk supaya dapat memisahkan persaudaraan kita.
Apakah kau tidak takut wahai sahabatku?” Tanya sahabat pertama.


Dengan tenang, sahabat kedua menjawab, “InsyaAllah, aku yakin dengan peliharaan Allah SWT kepada kita hingga ke hari akhirat nanti. Semoga ditetapkan hati kita tidak lain hanya kerana Allah SWT, serta dijauhi dari sifat-sifat tersebut. Na’uzubillah…”



Maka kedua-dua sahabat itu pun berdoa bersama-sama. Memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Segala penduduk langit & bumi mendoakan kebahagiaan mereka berdua.


Ditakdirkan pada suatu hari, sedang kedua-dua sahabat itu bersiar-siar di sebuah taman, sambil bertasbih memuji Allah SWT, mengagungkan kebesaran Allah SWT, tiba-tiba mereka terlihat sebuah pohon kurma yang lebat buahnya. Telah diketahui bahawa taman itu adalah taman yang tidak bertuan milik & pengunjung bebas memetik buah-buahan di situ.

Maka sahabat kedua memohon izin kepada sahabat pertama untuk pergi memetik buah kurma tersebut. Maka dipetiknya beberapa biji sahaja, sekadar mengisi perut yang lapar.


Maka keduanya menikmati buah kurma tersebut dengan penuh kesyukuran. Tiba-tiba sahabat pertama bersuara, “Maafkan aku sahabatku. Baru sahaja aku teringat bahawasanya pohon ini bertuan milik. Kita telah makan buah kurma milik orang lain. Adalah suatu dosa bagi kita memakan sesuatu yang bukan halal bagi kita tanpa kita meminta izin terlebih dahulu. Salah aku kerana terlambat memberitahumu.”


“Benarkah? Jikalau begitu, kita telah dikira mencuri.
Astaghfirullahal'azim, aku merasa bersalah kerana memetik buah itu.
Apa harus kita buat? Patutkah kita memberitahu tuan punya milik pohon tersebut akan kesalahan kita?” Sahabat kedua bertanya.


“Tidak, aku tak mampu memikirkan jalan penyelesaian buat masa sekarang.
Hakikatnya memang salah aku. Aku merasa berdosa yang teramat sangat.” Keluh sahabat pertama.


“Jangan risau sahabatku fillah. Allah bersama orang-orang yang benar. Kita harus berlaku jujur. Mari kita berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa kita. Moga tuan milik pohon ini menghalalkan kita kerana memakan buahnya. Aku rela bekerja seumur hidup jika disuruhnya begitu, demi menghalalkan apa yang telahku makan ini.
Aku lebih takutkan seksaan Allah SWT.” Sahabat kedua memujuk sahabat pertama.


Namun, sahabat pertama enggan menurut sahabat kedua.
Dia berasa amat bersalah kerana gagal memberitahu perkara sebenar tentang pohon tersebut.

“Bagaimana jika tuan pemilik pohon ini enggan menghalalkan buah yang telah kita makan ini?”
Tanya sahabat pertama.


Sahabat kedua termenung seketika. Dia mulai ragu-ragu.

“Aku mencadangkan kita tak perlu berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Aku khuatir dia enggan memaafkan kita. Maka seluruh darah & daging kita tidak halal di sisi Allah.”

Sahabat pertama memberi cadangan.

“Kalau begitu, sama sahajalah pengakhirannya. Lebih dahsyat lagi Allah murka atas perbuatan kita.
Dia melihat perbuatan kita, Dia tahu yang kita telah melakukan maksiat dan cuba menyembunyikannya.
Aku amat takut. Seeloknya aku mencadangkan kita berjumpa tuan pemilik pohon ini. InsyaAllah dengan rahmat Allah, tuan pemilik pohon ini memaafkan & menghalalkan apa yang telah kita makan.
Aku tak mahu tergolong dalam kalangan orang yang dilaknat oleh Allah SWT di akhirat kelak nanti.” Sahabat kedua meyakinkan sahabat pertama.


“Kalau begitu, engkau pergi seoranglah. Aku tidak mahu. Sebagai sahabatku, harap kau jangan laporkan kepadanya yang aku turut sama makan buah kurma itu ya.
InsyaAllah suatu hari nanti aku akan cuba bertaubat kepada Allah SWT atas kesalahanku ini.
Mudah-mudahan Dia mengampuni aku. Aku belum cukup kuat berjumpa dengannya,”
kata sahabat pertama.


Sahabat kedua amat terkejut dengan pendirian sahabat pertama. Lalu dia berkata,
“Astaghfirullah, bukan dengan cara begini, Allah akan ampunkan dosa kita wahai sahabatku.
Kelak akan dipersaksikan di akhirat kelak akan perbuatan terkutuk kita!”


“Ya aku faham. Tapi aku merasakan inilah jalan penyelesaian terbaik. Kita bertaubat sahaja.
Allah akan mengampuni dosa kita. Pintu taubatnya sentiasa terbuka bagi hambaNya yang bertaubat kepadaNya.” Sahabat pertama masih enggan.


“Wahai sahabatku, janganlah kita dihina di hadapan Allah kelak atas perbuatan kita ini. Aku sebagai sahabatmu tidak sanggup melihat sahabatku ini menjadi penghuni neraka hanya kerana hal yang kecil sebegini. Islam mengajar kita supaya berlaku jujur!” tegas sahabat kedua.


“Ah, pedulikan! Aku tidak mahu berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Lagipun sama sahaja kalau dia enggan menghalalkan apa yang telah kita lakukan ini.
Kau mahu pergi, kau pergilah, aku tetap dengan pendirianku! Biarkan aku! Kalau kau rasakan aku tidak layak menjadi sahabatmu kerana ‘dosa’ku pada pandanganmu, maka biarkan aku!”
Pengakuan sahabat pertama ini membuatkan sahabat kedua terkejut.
Dia tidak menyangka bahawa kata-kata tersebut akan keluar dari mulutsahabatnya itu.


Tiba-tiba sahabat kedua menangis. Maka dengan perlahan dia berkata kepada sahabat pertama,
“Sungguh aku tak sangka dengan pendirianmu ini. Kau telah berubah, astaghfirullah, syaitan benar-benar telah mempengaruhimu. Aku masih ingat kau pernah bertanya kepadaku suatu ketika dahulu, apakah aku tidak takut akan jarum-jarum syaitan yang akan memisahkan persaudaraan kita?
Aku meyakinkanmu dengan jawapanku. Aku yakin dengan peliharaan Allah.
Tapi, memang benar apa yang dikatakanmu. Kau telah berubah.
Jarum syaitan telah menusuki tubuhmu. Aku sangat kecewa dengan perubahan dalam dirimu.”



“Kau sudah tidak memahamiku lagi. Kau benar-benar bukan sahabatku.
Maka terpulanglah, pergilah kau kepada tuan si pemilik pohon.
Aku dengan pendirianku ini. Mulai hari ini, kita bukanlah sahabat sejati,” kata sahabat pertama.



“Baiklah, pergilah engkau dengan sikap engkau itu. Aku benar-benar kecewa.
Jika benar kau membenciku, maka tinggalkanlah aku di sini.
Aku tak sanggup melihatmu dengan pendirianmu ini. Aku tak rela sahabatku berubah jadi begini.
Kau telah mendustai kata-katamu suatu ketika dahulu.
Mulai hari ini, aku terima permintaanmu, kita bukan lagi sahabat.
Pergilah engkau bertaubat, semoga Allah mengampuni engkau,”

maka sahabat kedua menangis. Lalu sahabat pertama beredar dari situ.
Kebencian merajai segenap hatinya….




Di dalam sebuah gua, terdengar tangisan teresak-esak seorang lelaki. Suara laksana orang sedang berdoa.


 “Ya Allah, memang benar apa yang aku alami. Sahabatku benar-benar membenciku kerana kejahatanku. Dia benar-benar sudah tidak mengakuiku sebagai sahabatnya.
Apabila aku berlagak seperti seorang pengkhianat & aku berlakon seperti seolah-olah aku menafikannya sebagai sahabatku, maka memang benar dia menolakku. Sudah ku duga bahawa dia mengakui aku sebagai sahabatnya hanya kerana kebaikan yang ada padaku.
Apabila aku jahat, maka aku bukan lagi sahabatnya. Dia tidak berusaha mendapatkanku. Ku harapkan dia mengejarku, namun dia menghukum aku sebagai pendusta pula.

Ya Allah, namun begitu, aku menghalalkan apa yang telah dimakannya, AKULAH PEMILIK POHON KURMA ITU, ampunilah dosa sahabatku ini.”


Sahabat pertama tunduk sujud dan menangis dalam gua yang gelap gelita itu.

Friday, March 7, 2014

-- Akhlak

Dikatakan bahawa akhlak adalah pakaian yang menunjukkan keadaan kita. Buruk akhlak, buruklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kelebihan, seperti cantik, kaya dan sebagainya.

Cantik akhlak, cantiklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kekurangan, seperti miskin, tidak berapa cemerlang dalam pelajaran dan sebagainya.

Dan antara yang mendamaikan jiwa manusia, adalah akhlak.

Sebab itu perempuan berakhlak, dia adalah bidadari dunia.

Akhlak, bukan semata berdiri di atas nilai murni.

Pertamanya, perlu difahami bahawa, akhlak mulia bukanlah semata-mata berdiri di atas nilai murni semata-mata. Apakah maksud saya dengan penyataan ini?

Yakni, kita tidak memandang bahawa akhlak mulia itu semata-mata berdiri di atas nilai moral. Contohnya, kita tidak berbogel di tengah masyarakat, kerana masyarakat menganggap itu satu perkara yang tidak bermoral. Maka kita berpakaian, kerana pada masyarakat, berpakaian itu bermoral.

Contoh lain, kita tidak menengking-nengking orang, kerana masyarakat menganggap menengking itu satu perkara yang tidak murni. Begitu juga dengan kita membantu orang, kerana masyarakat menganggap membantu orang lain adalah perkara yang murni.

Ya. Akhlak bukan berdiri di atas ‘nilai murni’ atau ‘moral’ dengan ukuran masyarakat, ukuran manusia.

Tetapi konsep berakhlak yang sebenar itu, diukur dengan nilaian yang telah diletakkan oleh Allah SWT.

Masyarakat mungkin boleh menerima bahawa yang memakai baju kurung, tanpa tudung, itu dikatakan berakhlak, sopan. Tetapi di dalam Islam, itu belum mencapai tahap berakhlak lagi. Kerana jelas, di situ ada ‘keingkaran’ kepada Allah SWT berlaku. Maka bagaimanakah kita boleh mengira keingkaran kepada Allah SWT sebagai ‘berakhlak’?

Contoh lain dalam isu ini, berpegangan tangan dengan yang bukan mahram. Mungkin pada masyarakat, itu tidak mengapa. Tiada masalah. Bukan peluk pun. Jadi kalau berpegangan tangan, bersentuh bahu studi bersama, maka itu boleh dikira berakhlak lagi. Tetapi tidak di dalam Islam. Itu belum mencapai tahap ‘berakhlak’. Kerana jelas berlaku pengingkaran kepada Allah SWT di situ.

Jadi, bidadari dunia memahami akhlak mulia itu sedemikian rupa.

Apakah ‘akhlak mulia’? Itulah dia dengan berakhlak mengikuti akhlak yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Maka Mereka Berakhlak dengan akhlak yang diperintahkan.

Firman Allah SWT:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 31.

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” Surah Al-Ahzab ayat 32.

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Al-Ahzab ayat 59.

“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” Hadith Riwayat Muslim, bernombor 3971

Thursday, December 19, 2013

Wanita Solehah, Wanita Sejati ...

Wanita Solehah , Wanita Sejati

Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.” (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh mengembirakan engkau apabila kamu melihatnya, dan yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dan dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu.” (HR Nasa’i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim)

“Wanita solehah itu lebih baik dari bidadari syurga. Dan isteri solehah itu akan menjadi ketua bagi bidadari bidadari syurga. kamu mahu menjadi solehah?” soal ustazah sewaktu minggu orentasi. Sewaktu saya mula menjejak kaki ke halaman maahad yang permai.

“Nak..!!” jawab kami.

Ustazah tersenyum.

“Kalau macam tu, usahalah jaga akhlak kamu. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya : Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu suka.” (HR Ahmad)

“InsyaAllah ustazah..!”

Kini saya dah dewasa. Bukan lagi murid tingkatan satu dahulu. Mungkin cita-cita untuk menjadi seorang doktor tak kesampaian. Namun cita-cita sebagai seorang wanita solehah tetap hidup dalam diri. Kalau dulu saya hanya mengangguk kalau ada yang berpesan

“Nanti kamu jadi anak yang solehah ya. Yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya”

Solehah yang ku hadam sebagai perempuan yang baik. mudah saja. ^^

Hari ini saya melihat dunia. Dunia realiti dan sebenar. Manalah perempuan yang baik itu. Susah untuk ketemu. Saya yang rasa dan pendam sendiri. Untuk menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan. Untuk menjaga aurat. Untuk menjaga iman dan akal hati. Kadang kadang saya menangis sendiri.

“Ya Allah susahnya mahu jadi solehah. Bertalu-talu aku diuji.”

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23 :

“Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?”

Ku sapu air mata. Takut kalau Allah mengunci hati. Ahh.. Itu hanya mehnah kecil. Sedangkan Sumayyah diuji imannya dengan ujian yang maha dahsyat! Kan wanita solehah itu kuat jiwanya! Teguh azamnya!

“Seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil, tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi. Itulah yang terbaik.”

Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona, tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu. Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.

Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan. Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa, tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran.

Ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana dia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul.

Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang dia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana dia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada Tuhannya, dan dia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi.

Solehah bukan lah mudah. Namun ia bukanlah mustahil. Selagi menjaga ibadah, menjaga kehormatan dan taat kepada suami.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Apabila mati seorang anak Adam itu maka terhentilah amalnya kecuali 3 perkara :- Sedekah yang berjalan terus (sedekah amal jariah), ilmu yang berguna dan terus diamalkan dan anak soleh yang mendoakannya.”


Monday, August 26, 2013

Aku Menanti Pendampingku ~~~~

Bismillahirrohmannirrohim.....

Ya Allah..YaTuhankami..bila pendamping kami telah Engkau lahirkan,Gerakan hatinya tuk menuju hati kami,Pertemukanlah kami dalam sebaik-baiknya pertemuan tuk menuju Ridha-Mu..Kerana Engkaulah yg berhak atas hati hamba2-Mu..Dan Engkau jua yg kuasa membolak balikannya..

Ya Rabb,bila dia jauh,dekatkanlah..Eratkan hati kami dalam ikatan kerana-Mu,tautkan hati kami dgn hatinya yg sama2 mengharap & mendamba sebuah keinginan menuju ridha-Mu..

Ya Allah...Yang Maha Pecinta..Pemilik cinta sejati,bilamana cintaku kau ciptakan utk dia..Tabahkan hatinya..Teguhkan imannya..Tegarkan penantiannya..

Ya Rabb...Sang Pemilik Hati..bila hati kami KAU ciptakan untuk dia,Penuhi hatinya dgn Kasih-Mu,Terangi langkahnya dgn Cahaya-Mu,Limpahkan kelapangan di kalbunya dgn kesabaran,Temani dia dalam kesepian..

Ya Rabbi,Tiada tempat kami bersandar Selain pada-Mu..kami titipkan cinta kami pada-Mu untuknya..kami titipkan sayang kami pada-Mu untuknya..Kami titipkan rindu kami pada-Mu untuknya..Mekarkan cintaku bersama cintanya..Satukan hidup kami & hidupnya dlm Cinta-Mu..

Rabb....Kami yakin bila saatnya sudah menghampiri,Pasti kebahagiaan itu kami dapati..Mohon beri kami kekuatan dan kesabaran dlm penantian kami..

Ya ALLAH..kirimkan dia yg dpt membawa kebaikan,Baik bagi dunia kami,akhirat kami dan agama kami..Agar kami sama2 berjama'ah tuk tetap Menuju-Mu..bimbinglah hati kami,Kuatkan hati kami..Penuhilah dengan Rahmat & kasih sayang-Mu..Aamiin ya Rabb...

( Untuk sahabat yg sdg menanti CINTA SEJATI kerana ALLAH..Moga ALLAH memberi yg TERBAIK dlm Pandangan & Pilihan-Nya...mengabulkan doaku,doamu dan doa kita semua.....Aamiin ya Rabbal Allamin)..

Wednesday, August 21, 2013

-- 5 Kekuatan Wanita Yang Bisa Melemahkan Lelaki ..

Assalamualaikum warahamtullahi wabarakatuh ,,,, untuk entri kali ni ,, ana nk share sikit 5 kekuatan kaum Hawa yang boleh melemahkan Kaum Adam ,...
 
Apakah 5 kekuatan wanita itu?
...

1) Air matanya
 Semua sedia maklum air mata wanita adalah senjatanya. sehingga ada satu kisah pada zaman Umar, dimana Umar Khatab RA ketika mana beliau masih kafir dan berteguh pada prinsipnyanya telah dicairkan dengan air mata adiknya sehingga memeluk agama Islam seterusnya terpilih menjadi salah satu khalifah yang kuat pada zaman itu. Tangisan adalah muara perasaan.tanpa sedar air mata itu dengan sendirinya mengalir bila mana ketika sedih, gembira, marah, dan terharu  karena semua itu fitrah. dan mana syaitan bekerja pada saat ini,bila seorang wanita meminta sesuatu kepada lelaki sehingga mengalirkan air mata. APA YANG SEHARUSNYA KAUM ADAM LAKUKAN?? saya tekankan di sini TETAPKAN HATI DENGAN KEPUTUSAN YANG TEPAT...

2) Senyumannya

senyuman adalah simbolik kecantikan. dan senyuman wanita sangat mudah dijadikan syaitan dalam melenturkan hati lelaki. apatah lagi senyuman dari si cantik manis.
dan kerana itu Allah telah berfirman dalam surah An-Nur (ayat30-31) :
"katakanlah kepada lelaki beriman,agar mereka menjaga pandanggannya, dan katakanlah kepada wanita beriman, agar mereka menjaga pandangannya."
solusinya adalah JAGALAH PANDANGAN WAHAI AKHI WA UKHTI~~
 
3) Tutur katanya
wanita ni memiliki suara yang berbeza berbanding lelaki. nada suaranya lembut. SubhanAllah. Oleh itu, syaitan telah memanfaatkannya dengan menjadikan ia sebagai senjata untuk melemahkan Kaum Adam,.ditambah lagi suara yang sengaja dimanja-manjakan.Aduhh ,, parah lah ,,maka cairlah hati si kaum adam mendengarnya. oleh yang demikian, wahai wanita sedunia. berbicaralah dengan nada yang tegas. kerana manja seorang wanita itu selayaknya bagi mereka yang halal saja.
4) Lirikan matanya
Sesetengah berpendapat, kecantikan seseorang terletak pada matanya. jika bulat bundar mata wanita itu,maka cantiklah wanita itu. namun cantik itu subjektif. secara logiknya, bila mana seseorang itu senyum/ketawa dengan automatiknya mata juga tersenyum dan kelihatan seperti bersinar. tak percaya? nanti anda perhatikan sendiri. bersinarnya mata wanita itu ketika gembira sangat meruntum jiwa kaum adam. karena itu syaitan menjadikan mata wanita itu senjata melemahkan lelaki. dan lebih
membuat lelaki berasa 'aughmmm!' dengan kita bila mana wanita itu mendelikan matanya. lelaki merasakan sangat seksi.
5) Keyakinannya
Sebahagian lelaki tidak memandang pada kecantikan wanita semata.tapi, dengan keyakinan dan kecerdasan wanita itu serta merta buat buat lelaki itu cair. wanita yang kelihatan yakin bila berbicara, sentiasa happy go lucky, ciri-ciri ini sangat meluluhkan hati lelaki walaupun rupa parasya dalam level 'Lumayan Bagaimana jalan penyelesainya? kedua-duanya, sama ada lelaki mahu pun perempuan. yang paling penting, bersihkan diri dan sucikan hati. banyakkan istighfar. terutamanya bila hati dan fikiran terlintas untuk buat perkara yang tidak baik selalu ingat Allah sebab Allah tak pernah lupa kita. semoga dengan itu kita terhindar dari bisikan dan godaan syaitan laknatullah.

 

-- MALAYSIA & AGAMA PERSEKUTUAN

Malaysia dan agama persekutuannya.

Apa yang aku dapati, kerajaan persekutuan telah memperkecilkan agama wahyu ini hanya dengan status agama persekutuan. Malah dengan mengehadkan usaha dakwah dan penyebaran agama Islam, perbuatan mereka sebagai yang diberi mandat pemerintahan seakan langsung tidak amanah akan agama sendiri yang sepatutnya menjadi teras dalam pembangunan negara.

Lebih memilukan motif kebangsaan lebih diwar-warkan dari penerapan al Quran dan sunnah dalam kalangan rakyat sehingga ia melenyapkan kelunakan Islam dalam masyarakat. ...

Keprihatinan kerajaan perseketuan juga diragui terhadap sensitiviti terhadap isu kemanusiaan, ini kita dapat lihat apabila konsert Barat Metalicca yang baru diadakan bukan sahaja mencabar kemarahan orang Islam malah merosakan akhlak ummat dengan hiburan yang melalaikan. Sedangkan kekejaman yang berlaku di Mesir,Syria dan Gaza khususnya lebih layak mendapat perhatian segenap masyarakat, tanah para anbiya yang dimuliakan sedang dicemari dan Malaysia masih mahu sekadar berkata bersyukurlah kita masih aman?

Apakah akhlak ini yang mahu diwarisi pada rakyat Malaysia, khususnya ummat Muhammad di bumi Malaysia?Bagaikan saudara Islam yang di seberang sana tidak sama dengan kita. Apakah ini pemikiran yang mahu dibawa oleh kerajaan Malaysia?

Allah tidak sesekali akan mendatangkan kehinaan itu dalam masa sehari semalam, malah kehinaan itu mungkin datang tanpa kita sedari. Apakah pemerintah yang berkuasa sekadar mahu duduk dan berbicara akan hal ehwal negara dan sedikitpun terkesan dengan kalam wahyu yang patutnya diutamakan perintahNya?

Hai pemerintah yang lupa, Lupakah kamu akan amanah itu akan ditanya Allah?

Hai pemerintah yang lupa, adakah kamu ketahui bahawa kamu telah berdusta akan nikmatNya?

Adakah kamu terlalu mengambil mudah kerana kelembutanNya sehingga kamu berani berdusta kepadaNya?

Aku melihat pemerintah kini menganggap rakyat seperti kanak-kanak yang meminta coklat dari ibu bapanya. Jika tidak diberi mereka akan membuat bising, lalu diberikan “gula-gula” agar mereka diam akhirnya ia merosakkan gigi. Samalah Malaysia, meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, namun tuntutan agama tidak diutamakan malah diperkecilkan hakNya. Akhirnya yang rosak adalah rakyat yang mengikuti kejahilan pemerintah.

Wahai pemerintah yang Allah amanahkan penghisaban yang banyak, sekiranya engkau menyatakan aku ini seorang penderhaka negara, moga Allah mengatakan kamu penderhaka kepada agamaNya.Moga Allah melindungi aku dan rakyat daripada kejahatan yang ada padamu.

Wallahu’allam.

Share if U CARE.

#Via Ikhwan Adam ....